Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 149 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

21  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1696.
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah saw mencium Hasan bin 'Ali. Ketika itu disampingnya duduk Aqra' bin Habis. Al-Aqra' berkata: "Saya mempunyai sepuluh orang anak. Tidak seorang pun daripada mereka yang pernah saya cium. "Rasulullah saw. memandang kepadanya, kemudian berkata: "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.".

22  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1846.
Dari 'Aisyah r.a. sesungguhnya dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah saw. ialah mimpi yang benar di waktu tidur. Setiap Nabi bermimpi, dilihatnya dengan terang seperti di pagi hari. Kemudian itu, beliau pergi ke gua Hira' dan beribadat di situ selama beberapa malam. Untuk itu beliau membawa perbekalan. Kemudian setelah perbekalan habis, beliau kembali kepada Khadijah dan disiapkannya pula perbekalan seperti yang dahulu. Akhirnya kebenaran (wahyu) datang kepada beliau dengan tiba-tiba, ketika sedang berada di gua Hira'. Maka datanglah malaikat (Jibril) ke situ dan mengatakan: "Bacalah!" Nabi menceritakan: Jawab ku: "Aku tidak boleh membaca." Lalu malaikat itu memegang dan memeluk ku sampai merasa letih. Kemudian aku dilepaskannya dan katanya sekali lagi: "Bacalah!" Aku tetap menjawab: "Aku tidak bisa membaca." Lalu aku dipeluknya sekali lagi, sehingga aku merasa letih. Kemudian dilepaskannya pula dan mengatakan: "Bacalah!" Aku tetap menjawab: "Aku tidak bisa membaca." Lalu aku dipeluknya kali yang ketiga, sampai aku merasa letih. Kemudian itu dilepaskannya sambil mengucapkan: "Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan..mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." Kemudian itu Nabi kembali pulang dengan perasaan goncang. Setelah bertemu dengan Khadijah, beliau mengatakan: "Selimuti aku, selimuti aku!" Lalu beliau diselimuti oleh Khadijah sampai hilang takutnya. Nabi berkata: "Hai Khadijah! Apakah gerangan yang terjadi pada diriku?" Diceritakan oleh Nabi kepada Khadijah peristiwa yang telah dialaminya. Kemudian mengatakan: "Sesungguhnya aku cemas terhadap diriku." Khadijah menjawab: "Jangan khuatir! Hendaklah engkau bergembira. Demi Allah, Tuhan tidak akan menimpakan kehinaan kepada engkau buat selamanya, kerana engkau seorang sentiasa memperhubungkan kasih sayang (silaturrahim), berkata benar, menolong orang yang sengsara, memuliakan tamu dan menolong orang yang korban kerana mempertahankan kebenaran." Kemudian itu Nabi bersama Khadijah pergi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul 'Uzza bin Qusai, seorang anak saudara bapa Khadijah. Waraqah itu telah memeluk agama Nasrani dizaman jahiliyah dan pandai menulis dalam bahasa Arab. Ditulisnya dari Kitab Injil dalam bahasa Arab seberapa kesanggupan yang diberikan Tuhan kepadanya. Umurnya telah sangat tua dan matanya telah buta. Kata Khadijah kepada Waraqah: "Hai anak pakcikku. Dengarlah cerita dari anak saudara mu (maksudnya Nabi Muhammad)!" Kata Waraqah: "Hai anak saudaraku! Apakah yang telah anda lihat?" Lalu diceritakan oleh Nabi saw. apa yang telah dialaminya. Kata Waraqah:"Itu Namus (Jibril) yang telah diutus kepada Musa. Wahai, hendaknya saya masih (muda dan masih hidup, ketika anda diusir oleh kaum anda!" Rasulullah saw. bertanya: "Apakah mereka nanti akan mengusir aku?" Jawab Waraqah: "Betul! Setiap orang yang mengemukakan serupa dengan apa yang anda kemukakan ini pasti akan dimusuhi. Kalau seandainya saya mendapati hari itu, nescaya saya akan membantu anda dengan sekuat-kuatnya." Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu berhenti buat sementara, sehingga sangat menyedihkan hati Nabi. Menurut ceritanya, kerana kesedihan itu beberapa kali Nabi hendak menjauhkan dirinya dari puncak bukit. Tetapi hati itu tidak sampai terjadi, kerana setiap kali Nabi sampai di puncak bukit hendak menjatuhkan dirinya dari situ, malaikat Jibril menampakkan diri dan mengatakan: "Hai Muhammad! Engkau sebenarnya Rasulullah". Kerana itu hati Nabi menjadi tenteram dan jiwanya kembali tenang sehingga dia pulang saja. Setelah wahyu terhenti sampai sekian lama. Nabi hendak berbuat pula sebagai dahulu, tetapi setelah sampai di puncak bukit, kelihatan lagi malaikat Jibril, lalu mengucapkan perkataan serupa yang diucapkannya dahulu.

23  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0210.
Berita dari 'Imran mengatakan : "Kami menyertai Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dan kami berjalan hingga jauh malam. Kami berhenti pada suatu perhentian dan segera mengantuk kerana lelah. Tidak ada tidur yang lebih enak bagi seorang musafir daripada tidur di bahagian akhir malam. Sehingga tidak ada yang membangunkan kami selain teriknya panas matahari. Orang yang bangun pertama kali ialah si Fulan, kemudian itu si Fulan, dan kemudian itu lagi si Fulan (nama-nama orang itu ada disebutkan oleh Abu Raja' yang menerima hadis ini dari 'Imran, tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' telah lupa), kemudian itu bangun pula Umar bin Khathab nombor empat. Nabi saw. sendiri apabila beliau tidur, tidak ada yang berani membangunkan, sehingga beliau bangun sendiri; kerana kita tidak tahu apa yang sedang terjadi dengan beliau waktu beliau tidur. Setelah Umar bangun dan melihat apa yang terjadi, padahal dia seorang yang bersikap keras, lalu dia takbir dengan suara sekeras-kerasnya sehingga Rasulullah saw. terbangun oleh suaranya itu. Setelah Nabi bangun, mereka mengadu kepada beliau apa yang telah terjadi (iaitu solat subuh mereka luput kerana tertidur). " Jawab Nabi saw., "Tidak mengapa dan marilah kita berangkat!" Setelah berangkat dan berjalan tidak berapa jauhnya, Nabi berhenti dan meminta air untuk berwuduk. Setelah wuduk dan azan, maka Nabi solat berjemaah dengan rombongannya. Setelah selesai solat, Nabi melihat seseorang yang menjauhkan diri dan tidak ikut solat berjemaah dengan rombongan. Nabi bertanya: "Hai, Fulan! Mengapa anda tidak ikut solat berjemaah bersama rombongan?" Jawabnya, "Saya kena jinabah, sedangkan air tidak ada." Sabda Nabi saw., "Gunakanlah tanah, sesungguhnya tanah itu cukup untukmu (bertayammum)." Sesudah itu Nabi saw. dan rombongan meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, rombongan mengadu kepada Nabi saw. bahawa mereka haus. Nabi berhenti dan memanggil si Fulan, yang namanya disebutkan oleh Abu Raja', tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' lupa namanya, dan dipanggilnya pula' Ali bin Abi Thalib. Kata Nabi saw., "Pergilah anda berdua mencari air!" Keduanya lalu pergi mencari air. Mereka bertemu dengan seorang wanita sedang duduk di antara dua mazadah di punggung untanya. Keduanya bertanya kepada wanita itu, "Di manakah kami boleh memperoleh air?" Jawab wanita itu, "Kelmarin saya telah berjanji akan membawa air ke sini sekarang, kaum kami sedang menunggu-nunggu." Kata keduanya, "Berjalanlah sekarang juga!" Tanya wanita itu, "Kemana?" Jawab keduanya, "Kepada Rasulullah saw." Tanya wanita itu, "Apakah yang anda maksudkan orang yang disebut Ash Shabi (pembawa agama baru) itu?" Jawab keduanya, "Ya, betul orang yang anda maksudkan itu. kerana itu teruslah berjalan kepadanya." Keduanya membawa wanita itu kepada Rasulullah saw. dan menceritakan peristiwa di atas kepada beliau. Kata Nabi saw., "Suruhlah wanita itu turun dari untanya!" Dan Nabi menyuruh mengambil sebuah bejana, lalu dituangkannya air dari, mulut kedua mazadah itu dan setelah itu ditutupnya kembali, kemudian dibukanya pula mulut mazadah yang lain. Kemudian dipanggilnya seluruh rombongan dan disuruhnya minum, "Minumlah kamu sekalian dan beri minum pula binatang-binatangmu!" Maka minumlah mereka semuanya dan memberi minum pula siapa yang hendak memberi minum binatang-binatangnya. Akhirnya Nabi saw. memberikan sebuah bejana berisi air kepada orang yang kena jinabah. Kata Nabi kepadanya: "Pergilah anda mandi!" Wanita itu berdiri saja memperhatikan apa yang dibuat orang dengan airnya. Demi Allah, setelah seluruh rombongan selesai mengambil air, kami lihat mazadah itu lebih penuh isinya dari sebelumnya. Sabda Nabi saw., "Kumpulkan barang makanan untuk wanita ini!" Maka dikumpulkan orang untuk dia, makan-makanan seperti tamar, susu, tepung. Setelah terkumpul, lalu dibungkus dengan sehelai kain, kemudian wanita itu dinaikkan ke atas untanya kembali dan bungkusan itu diletakkan di hadapannya. , Kata Nabi kepadanya, "Engkau tahu, kami tidak mengurangi airmu sedikit pun. hanya Allah swt. yang memberi minum kami. " Maka sampailah wanita itu kepada kaumnya dan dia terlambat datang. Kata mereka, "Mengapa engkau terlambat, hai, Fulanah?" Jawab wanita itu, "Sungguh ajaib! Saya bertemu dengan dua orang laki-laki, lalu saya dibawanya kepada orang yang di sebut Ash Sahbi (pembawa agama baru). Lalu dibuatnya begini dan begitu. Demi Allah, sesungguhnya dia seorang tukang sihir yang sangat pandai di antara ini dan ini (dia berkata dengan isyarat dua anak jarinya) jari tengah dan jari telunjuk, kemudian mengangkat keduanya ke langit, maksudnya antara langit dan bumi, atau dia itu benar-benar Rasulullah sesungguhnya." Tidak lama kemudian, kaum muslimin menyerang orang-orang musyrik di sekitar kampung wanita tadi, tetapi mereka tidak menyerang kaum tempat asal wanita itu sendiri. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, "Saya kira kaum muslimin itu dengan sengaja tidak menyerang kamu kerana itu Islamlah kamu!" Mereka patuh akan ajakan wanita itu, lalu semuanya masuk Islam.

24  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0136.
Dari Anas r.a. katanya: "Nabi saw. pernah menyuruh orang membawakan bejana berisi air kepadanya. Maka dibawakan orang sebuah kendi, berisi air sedikit. Lalu Nabi memasukkan jari beliau ke dalam air itu." Kata Anas (selanjutnya), "Saya melihat air terbit dari jari-jari beliau." Kata Anas (lagi), "Saya taksir, ada kira-kira tujuh atau lapan puluh orang berwuduk dengan air itu."

25  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0712.
Dari Samurah bin Jundab r.a. katanya: "Pada suatu ketika setelah solat, Nabi saw. menghadapkan mukanya kepada kami, lalu bersabda: "Siapa di antara kamu yang bermimpi semalam?'" Kata Samurah, "Siapa yang bermimpi, diceritakan mimpinya itu kepada beliau." Kata beliau, "Maasyaa Allah!" Kemudian, pada suatu hari beliau bertanya pula, "Adakah di antara kamu yang bermimpi semalam? "Jawab kami, "Tidak!" Kata beliau saw., "Tetapi aku bermimpi semalam. Dua orang laki-laki datang kepada ku, lalu keduanya memegang tangan ku dan membawa ku ke negeri suci(Jerusalem). Di sana aku melihat seseorang sedang duduk dan yang seorang lagi,berdiri dengan sepotong besi berkait (kalub) di tangannya. Para sahabat kami dari Musa menceritakan, "Laki-laki itu memasukkan kalub ke pipinya sampai ke tengkuk, kemudian ditusuknya pula pipinya yang sebelah seperti itu juga, sehingga kedua pipinya itu bertemu. Kemudian pipinya itu kembali pula seperti biasa. Begitulah perbuatan itu dilakukannya berulang-ulang." Aku bertanya. "Apakah ini?" Keduanya menjawab, "Teruslah berjalan! " Maka kami berjalan terus, hingga bertemu dengan seorang laki-laki yang sedang tidur menelentang dan seorang lagi berdiri dekat kepalanya memegang sebuah batu. Maka dilemparnya kepala orang yang tidur dengan batu itu lalu pecah, dan batu terpelanting. Si laki-laki itu pergi mengambil batunya, tetapi belum sampai ia kembali ke tempatnya semula, kepala yang pecah tadi, telah kembali seperti biasa. Perbuatan semacam itu dilakukannya terus-menerus." "Siapa ini?" tanyaku. Jawabnya, "Teruslah berjalan!" Kami terus berjalan dan bertemu dengan sebuah lobang semacam tungku, di atasnya sempit dan di bawahnya lapang, dan di dalamnya api bernyala-nyala. Waktu mereka dekat ke api yang terus naik ke atas, mereka hampir terlempar ke luar, dan apabila api padam, mereka jatuh ke bawah. Di dalamnya ada kaum lelaki dan wanita bertelanjang. Aku bertanya, "Siapa pula ini?" Sahutnya, "Berjalanlah terus!" Kami berjalan terus, hingga sampai ke sebuah sungai darah. Seorang laki-laki berdiri di tengah sungai itu, dan dipinggirnya ada pula seorang laki-laki memegang batu. Apabila orang yang di dalam sungai hendak keluar, ia dilempar mulutnya oleh orang yang memegang batu di pinggir sungai, dan batu pelempar yang memantul dapat ditangkap kembali oleh si pelempar. Demikianlah seterusnya, tiap kali orang yang dalam sungai hendak keluar, dilempar, orang mulutnya dan ia kembali ke tempatnya semula. Tanya ku, "Siapa pula itu?" Jawabnya, "Teruslah berjalan!" Kami berjalan terus hingga sampai di sebuah kebun yang menghijau. Dalam kebun itu ada sebatang pohon besar. Pada pokok pohon itu kelihatan seorang tua dan beberapa orang anak-anak, dan seorang laki-laki sedang menyalakan api di dekat pohon di hadapannya. Kedua laki-laki tadi membawa ku naik ke atas pohon dan terus masuk ke sebuah rumah indah yang belum pernah aku melihat seindah itu. Di sana aku melihat , beberapa orang laki-laki dewasa, pemuda, wanita, dan anak-anak: Keluar dari situ, aku terus dibawa naik ke sebuah rumah yang lebih indah lagi dari yang tadi. Di situ banyak kelihatan orang dewasa dan pemuda. Kataku, "Telah tuan-tuan bawa aku keliling malam ini. Sekarang ceritakanlah kepada ku apa yang telah ku lihat sejak tadi." Jawab keduanya, "Ya, baiklah! Adapun orang yang menusuk pipinya, ialah orang pembohong. Ia menceritakan kebohongan, lantas diterima orang dan tersiar ke mana-mana. Begitulah ia diperlakukan sampai hari kiamat. Orang yang Tuan lihat kepalanya pecah dilempar dengan batu, ialah orang yang diajarkan Allah kepadanya Al Quran, lantas ia tidur saja Malam hari dan tidak pernah mengamalkannya kalau siang hari. Ia diperlakukan semacam itu hingga hari kiamat nanti. Orang-orang yang Tuan lihat berada di dalam lobang, ialah orang-orang penzina. Orang yang berada di dalam sungai, ialah orang yang memakan riba. Orang tua yang berada di pokok pohon, ialah Nabi Ibrahim a.s., dan anak-anak yang berada di kelilingnya, ialah anak-anak orang banyak dan orang yang menyalakan api ialah malaikat Malik penjaga neraka. Rumah yang mula-mula Tuan masuki, itulah tempat umum kaum Muslimin, sedangkan tempat ini khas bagi para Syuhada. Saya adalah Jibril dan ini Mikail." "Angkatlah kepala Tuan!" Maka ku angkat kepalaku; kebetulan di atasku ada semacam awan. Keduanya berkata, "Itulah tempat Tuan." Kataku, "Biarkanlah aku ke sana," Jawabnya, "Sekarang masih ada sisa usia Tuan. Nanti kalau sudah cukup masanya, Tuan akan pergi ke tempat Tuan itu."

26  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1492.
Dari Abu Hurairah r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perumpamaanku dan orang banyak, sebagai seorang laki-laki yang menyalakan api, kemudian kupu-kupu dan binatang-binatang jatuh ke dalam api itu". Dan beliau bersabda: "Ada dua orang perempuan bersama dua orang anaknya. Lalu datang serigala, dan ditarikannya anak salah seorang di antara mereka. Kata yang satu: "Hanyalah anak engkau yang dilarikan serigala". Kata seorang: "Hanyalah anak engkau yang dilarikannya". Mereka lalu meminta pertolongan kepada Nabi Daud. Beliau memohon keputusan, bahawa anak yang tinggal itu kepunyaan perempuan yang lebih tua. Mereka lalu pergi kepada Nabi Sulaiman bin Daud, lalu diceritakannya kepadanya. Kata Sulaiman: "Bawa kemari sebilah pisau, supaya saya belah anak ini untuk kedua orang ibunya": Perempuan yang lebih muda lalu berkata, "Jangan tuan lakukan! Tuhan memberi rahmat kiranya kepada tuan! Itu anaknya!" Beliau lalu memutuskan, bahawa anak itu untuk perempuan yang muda".

27  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1797.
Dari Huzail bin Syurahbil r.a. katanya: Ditanyakan kepada Abu Musa tentang pembahagian pusaka seorang anak perempuan, pembagian anak perempuan dari anak laki-laki dan saudara perempuan. Jawabnya: Untuk anak perempuan seperdua dan untuk saudara perempuan seperdua. Pergilah (bertanya) kepada Ibnu Masuud, tentu dia akan sesuai dengan pendapat saya. Lalu ditanyakan kepada Ibnu Masuud dan diceritakan kepadanya keterangan Abu Musa. Jawabnya: Kalau begitu saya tersesat dan tidak menurut kebenaran. Saya memutuskan tentang itu menurut apa yang diputuskan Rasulullah saw. iaitu untuk anak perempuan seperdua dan untuk anak perempuan dari anak laki-laki seperenam, sebagai mencukupkan dua pertiga. Sisanya untuk saudara perempuan. Kemudian itu kami datang kepada Abu Musa dan kami ceritakan kepadanya perkataan Ibnu Masuud. Lalu dia berkata "Janganlah kamu bertanya kepada saya selama orang alim (lbnu Masuud) ini masih berada di antara kamu."

28  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1465.
Dari Anas r.a., katanya: Ketika sampai kepada Abdullah bin Salam khabar kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, ia pun datang menghadap beliau, lalu berkata: "Saya hendak bertanya kepada tuan tentang tiga perkara; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Nabi. Apakah permulaan tanda kiamat? Apakah permulaan makanan yang dimakan oleh isi syurga? Apa sebabnya anak menyerupai ayahnya dan apa sebabnya menyerupai ibunya?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Baru sebentar ini Jibril mengkhabarkan semua itu kepada saya. Kata Anas: Abdullah berkata: "Jibril itu ialah musuh orang Yahudi". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adapun permulaan tanda kiamat, ialah api yang mengumpulkan manusia dari timur ke barat. Adapun permulaan makanan yang di makan isi syurga, ialah tambahan hati dari ikan besar. Dan adapun perserupaan anak, bahawa seorang laki-laki bila bersenggama dengan perempuannya, jika airnya mendahului air isterinya, anak itu serupa dengan bapaknya. Jika dahulu air perempuan, anak itu serupa dengan dia". Abdullah berkata: "Saya mengakui, bahawa sesungguhnya tuan Pesuruh Allah". Kemudian katanya lagi: "Hai Rasulullah! Sesungguhnya orang Yahudi itu kaum pendusta. Jika mereka tahu saya masuk Islam sebelum tuan menanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menuduh saya pendusta di dekat tuan". Kemudian orang-orang Yahudi datang dan Abdullah masuk ke rumah. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah keadaan Abdullah bin Salam dalam lingkungan kamu?" Mereka menjawab: "Ia seorang yang amat pandai dan anak orang yang amat pandai di antara kami. Ia seorang yang paling baik dan anak orang yang paling baik di antara kami". Rasulullah s.a.w. bertanya: "Bagaimanakah pendapat kamu, jika Abdullah memeluk agama Islam?" Kata mereka: "Dilindungi (dijauhkan) Tuhan kiranya ia dari hal yang demikian!" Maka keluarlah Abdullah kepada mereka, lalu berkata: "Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya mengakui, bahawa sesungguhnya Muhammad Pesuruh Allah". Orang-orang Yahudi lalu berkata: "Dialah orang yang paling jahat dan anak orang yang paling jahat di antara kami". Mereka pun mencelanya bersama.

29  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0406.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang Nabi saw. Sedangkan ibu ku, Ummu Sulaim, di belakang kami."

30  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0227.
iwayat dari Anas bin Malik, "Bahawa neneknya, Mulaikah, mengundang Rasulullah saw. makan hidangan yang sengaja dibuatnya untuk beliau. Sesudah makan, Rasulullah saw. bersabda, "Aku ingin solat bersama-sama dengan Anda." Kata Anas, "Lalu aku berdiri ke sebuah tikar yang sudah hitam milik kami yang sudah lama dipakai. Tikar itu ku percik air. Setelah itu maka berdirilah Rasulullah saw. dan saya dengan seorang anak yatim (Jumairah) berbaris di belakang Rasulullah saw. dan wanita berdiri di belakang kami. Rasulullah saw. solat bersama kami dua rakaat dan sesudah itu beliau pergi."